Saturday 9 April 2011

Mancini percaya City mampu pamer aksi terbaik


MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini (gambar) berkata pasukannya mampu mempamerkan aksi terbaik mereka kerana kini jadual perlawanan mereka tidak ketat lagi.
Jurulatih berbangsa Itali itu percaya mereka melakar prestasi terbaik tepat pada masanya dan teruja dengan kemenangan besar ke atas Sunderland.

Berikutnya adalah kunjungan ke Anfield untuk bertemu Liverpool esok, ketika City cuba untuk meneruskan usaha mereka meraih tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.
Kemudian minggu berikutnya mereka berdepan jiran setempat Manchester United pada perlawanan yang dinanti-nantikan, separuh akhir Piala FA Inggeris di Wembley.

Mancini gembira dengan pilihan City di bahagian serangan apabila lima pemain berbeza - Adam Johnson, Carlos Tevez, David Silva, Patrick Vieira dan Yaya Toure - menjaringkan gol menentang Sunderland.

Kini beliau mahu pasukannya mempersembahkan prestasi sama di gelanggang lawan, walaupun menyedari sukar di Merseyside.
“Pemain kelihatan cergas. Kami berdepan masalah apabila kami bermain setiap tiga hari. Kini kebanyakan pemain boleh diturunkan dan ia adalah penting.

“Semua pemain beraksi cemerlang menentang Sunderland. Untuk menjaringkan lima gol daripada pemain berbeza amat bagus buat kami. Kami bermain dengan bagus kerana pemain mempunyai rehat yang mencukupi.

“Mentaliti kami patutnya sama tidak kira di gelanggang sendiri atau lawan. Kami boleh meningkat, kami boleh menjaringkan banyak gol.” Mancini menjangkakan Liverpool lawan yang berbeza berbanding pasukan yang mereka tumpaskan 3-0 Ogos lalu di Eastlands. - Agensi

No comments:

Post a Comment