Saturday 9 April 2011

Harimau Malaya bakal diuji Liverpool



SKUAD bola sepak kebangsaan kendalian K Rajagobal bakal disajikan dengan dua perlawanan menarik Julai ini apabila kelab gergasi Inggeris, Liverpool mengesahkan untuk menjadikan Malaysia salah satu destinasi Jelajah Asia mereka selain China dan Korea Selatan.
Pengesahan skuad The Reds kendalian Kenny Dalglish itu menyusul selepas Chelsea yang lebih awal memilih Kuala Lumpur sebagai pusat latihan pra musim mereka selama seminggu pada musim panas.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kehadiran Liverpool kali ini bukan saja memberikan berita gembira buat penyokong kelab itu di negara ini sebaliknya turut memberi peluang kepada Rajagobal menguji pemain-pemain.
“Meskipun anda bukanlah penyokong Liverpool tapi saya pasti peminat bola sepak tempatan akan datang menyaksikan pasukan negara menentang salah satu pasukan terbaik di dunia.

“Ini peluang terbaik untuk jurulatih K Rajagobal menguji pemain-pemain dan mungkin bagus untuk persiapan ke Sukan Sea dan juga pusingan kelayakan Piala Dunia,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur, ProEvents International Sdn Bhd.

Liverpool yang memiliki ramai peminat di Asia akan berkunjung ke Guangzhou, sebelum bertandang ke Kuala Lumpur dan kemudiannya mengakhiri jelajah di Seoul dengan tiga perlawanan bakal diatur sepanjang jelajah itu menerusi tajaan Standard Chartered.
Sementara itu kapten Liverpool, Steven Gerrard nyata teruja untuk menyertai skuad dalam jelajah Asia kali ini selepas mengadakan jelajah selama 10 hari di Thailand dan Singapura pada 2009.

“Setiap kali kami ke Asia, sambutan yang kami terima daripada penyokong memang cukup luar biasa. Penyokong di sana amat fanatik dalam memberikan sokongan kepada Liverpool dan ia sesuatu hebat apabila kami dapat memberi peluang kepada mereka menyaksikan kami beraksi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan www.lfctour.com.

Bagaimanapun menurut laporan agensi semalam, Gerrard terpaksa direhatkan sehingga berakhir musim EPL kerana kecederaan paha.

Pengurus Kenny Dalglish mengesahkan kecederaan serius kaptennya itu dan ia jelas menjejaskan misi pasukan memburu tempat ke saingan Eropah musim depan terutama menentang Manchester City dalam saingan EPL, Isnin depan.

No comments:

Post a Comment