Monday 11 April 2011

Cabaran BMX di London 2012 : Rizal Tisin bakal Melakar Sejarah


KUALA LUMPUR - Jika semua berjalan lancar, Rizal Tisin bakal melakar sejarah muncul pelumba pertama Malaysia yang bakal memburu pingat Sukan Olimpik 2012 di London dalam dua disiplin berbeza; trek dan BMX.
Rizal kini secara rasmi sudah mula memasuki fasa serius untuk muncul pelumba BMX No. 1 Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) atas persetujuan ketua jurulatih negara, John Beasley telah memberikan lampu hijau kepada pelumba itu meneruskan hajatnya.
Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab menjelaskan beliau telah mengadakan perbincangan rasmi dengan Beasley di Kuala Lumpur, baru-baru ini untuk memastikan sebarang perubahan tidak menganggu corak latihan pasukan trek negara khususnya kepada pasukan pecut berpasukan Malaysia yang dianggap antara terkuat di Asia ketika ini.
"Rizal mahu berubah angin dengan menyertai BMX. Perlu diingatkan acara satu kilometer ujian masa individu tidak akan lagi dipertandingkan pada Kejohanan Sedunia mulai tahun depan. Ia juga bukan lagi acara Olimpik dan Sukan Asia.
"Sedangkan kita semua tahu bahawa Rizal adalah seorang pelumba acara 1 kilometer ujian masa yang bertaraf dunia. Jadi Rizal mahu meneruskan cita-citanya untuk menang pingat di Olimpik dalam apa acara sekalipun termasuklah BMX.
"Perubahan acara ini harus ditangani dengan baik kerana Rizal adalah tonggak Malaysia dalam acara pecut berpasukan. Acara ini masih menjadi sasaran kita pada Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC).
"Kita masih setanding dengan Jepun dan China. Adakalanya Malaysia menang emas dalam acara pecut berpasukan menewaskan Jepun dan China. Namun, selepas menerima lampu hijau daripada John Beasley, PKBM merestui keinginan Rizal.
"Beasley menegaskan Rizal adalah seorang pelumba yang memiliki kepakaran, stamina dan disiplin tinggi untuk berlatih dan menyertai acara trek serta BMX," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Buat permulaan, Rizal telah pun menyertai Kejohanan BMX Kebangsaan Sirkit Kedua di Melaka Ahad lalu dan berjaya menduduki tempat keempat acara elit lelaki 320 meter apabila mencatat 43.968 saat.
Acara tersebut dimenangi pelumba Pahang, Mohd. Aim Mohd. Fauzi yang merakam masa 40.934s diikuti Norshahriel Haizat Mohd Nazali (42.030s) dan Muhammad Elmi Jumari (42.803s).
"Keputusan yang dicapai Rizal adalah satu kejayaan besar. Saya berpuas hati. Mungkin kita boleh hantar dia menyertai BMX Asia di China Mei ini untuk mengetahui standard pelumba Malaysia dengan pesaing dari Jepun, China, Korea Selatan atau Iran," katanya.

No comments:

Post a Comment