Saturday 9 April 2011

Bakat muda dicungkil


PERSATUAN Sukan Gusti Lengan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Pertandingan Sukan Gusti Lengan Terbuka Pulau Pinang pada 17 dan 18 September ini dengan 2,000 peserta dijangka mengambil bahagian.
Dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki bawah 65 kilogram, 65-74kg, 75-84kg, 85-100kg dan 100kg ke atas manakala bagi kategori wanita pula terbuka kepada bawah 65kg dan 65kg ke atas.

Presiden Persatuan Sukan Gusti Lengan Negeri Pulau Pinang, Che Yub Saad berkata, objektif utama pertandingan itu adalah untuk mengembangkan sukan itu serta melatih sekali gus melahirkan generasi baru terutamanya belia.
“Pelbagai hadiah menarik dijanjikan kepada peserta yang memenangi kategori masing-masing dan kami juga mengalu-alukan individu atau syarikat menaja pertandingan ini.

“Tiada had usia ditetapkan untuk menyertai pertandingan ini dan hanya satu syarat ditetapkan iaitu peserta hanya boleh menggunakan tangan kanan ketika pertandingan,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Persatuan Sukan Gusti Lengan Negeri Pulau Pinang dan logo persatuan itu di Pusat Rekreasi Telur Air Tawar, Taman Robina, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Sukan Gusti Lengan Malaysia, Mohamad Mydin.
Persatuan itu diluluskan Pesuruhjaya Sukan Malaysia tahun lalu bagi mengekalkan sukan tradisi yang wujud sejak sekian lama.

Sementara itu, Che Yub berkata kejohanan bagi mempromosikan sukan gusti lengan itu akan diadakan di Sungai Aceh, Pulau Pinang pada 15 Mei ini sempena Hari Belia peringkat Pulau Pinang.


No comments:

Post a Comment