Monday 11 April 2011

Akui bukan mudah digenggam - Bryan


KOTA KINABALU - Olahragawan MASUM 2010, Bryan Nickson Lomas mengakui peluang atlet terjun lelaki meraih pingat pada Sukan Olimpik London 2012 tidak semudah yang disangka.
Menurut Bryan, ini kerana peluang untuk pingat lebih memihak kepada penerjun yang mampu mengekalkan prestasi dan kelebihan itu dimiliki penerjun Rusia dan China.
Namun, Bryan tetap berharap dapat melakukan kejutan di London kelak.
"Saya tiada masalah untuk layak ke Sukan Olimpik. Paling utama saya perlu perbaiki beberapa aspek taktikal dalam terjunan untuk memastikan aksi yang konsisten," katanya.
Pencapaian terbaik atlet muda dari Kuching, Serawak itu adalah pada Sukan Asia Guangzhou tahun lalu apabila memperoleh dua pingat perak dan satu gangsa.
Kejayaan itu juga menjulang nama atlet terjun berkenaan di persada antarabangsa sekali gus menjadi sandaran untuk beraksi di Olimpik tahun depan.
Dalam pada itu, Bryan, sebaliknya optimis penerjun wanita negara mampu meraih pingat pada Olimpik tahun depan.
Katanya, prestasi konsisten atlet terjun wanita terutama Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong membolehkan mereka menjadi pesaing terdekat kepada atlet handalan China.
"Prestasi penerjun wanita kita amat baik kerana mempunyai kelebihan tersendiri dalam kategori mereka berbanding atlet lelaki.
Tidak mustahil sekiranya mereka mampu memperoleh kemenangan kerana kebanyakan pesaing mereka adalah atlet yang biasa ditemui di samping telah masak dengan keupayaan pihak lawan," jelas Bryan.

No comments:

Post a Comment