Monday 11 April 2011

16 April tarikh akhir jawapan

KUALA LUMPUR - Isu peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek kini memasuki fasa paling penting selepas jurulatih perseorangan negara itu sudahpun menerima kontrak barunya dan kini dalam proses rundingan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Misbun, 51, yang menggemparkan peminat badminton dengan meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu sebelum membatalkan keputusannya, tiga bulan kemudian menerima kontrak tersebut minggu lepas.
Tidak dinyatakan sampai bilakah beliau diberi masa untuk memikirkan mengenai kandungan kontrak, namun jurulatih itu difahamkan perlu menjawab tawaran kontrak berkenaan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM yang akan bersidang pada 16 April ini.
CTC, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai kemudian akan membincangkan peranan yang bakal dipegang jurulatih tersebut sebelum mencadangkannya kepada Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang bakal bersidang pada hujung bulan ini.
"Saya boleh mengesahkan bahawa kami sudah menyerahkan kontrak baru kepada Misbun minggu lalu, tetapi apa kandungan kontrak berkenaan bukan untuk dibincangkan secara umum, begitu juga bila tarikh sebenar dan tarikh akhir yang diberikan kepada Misbun untuk menjawab kontrak berkenaan.
"Apa yang boleh saya katakan, sekarang adalah peringkat rundingan. Sebarang isu antara kami dan Misbun mengenai kontrak akan dibincangkan dalam tempoh ini, selepas semua pihak berpuas hati nanti, kami akan membincangkan mengenai peranan beliau dalam mesyuarat CTC minggu ini, sebelum membawanya kepada Exco pada 28 April nanti," kata Chin Chai.
Jika sebelum ini ramai pihak yang berteka-teki tentang status Misbun, apakah beliau akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan atau sebaliknya, namun selepas jurulatih itu membatalkan peletakan jawatannya awal bulan ini, persoalan terarah pula kepada adakah beliau akan kembali membimbing anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei.
Selepas tiga bulan mendapat bimbingan Tey Seu Bock, sambil dibantu oleh ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Rashid Sidek, Chong Wei mula selesa dengan apa yang dilalui dan menyuarakan pandangan secara terbuka bahawa beliau tidak terlalu memerlukan Misbun.
Dalam tempoh ketiadaan Misbun, pemain No. 1 dunia itu berjaya memenangi tiga daripada empat kejohanan yang disertai, termasuk mempertahankan kejuaraan All England dengan mengalahkan musuh tradisi, Lin Dan bulan lalu. Malah, dalam satu-satunya kejohanan yang gagal dimenangi Chong Wei, dia muncul naib juara di Terbuka Korea, Januari lalu.
Chin Chai ketika ditanya mengenai kedudukan Misbun dalam skuad kebangsaan andai kembali nanti berkata, semuanya hanya akan dibincangkan oleh CTC yang dibarisi ramai jurulatih kebangsaan, termasuk Rashid sebelum dibawa kepada Exco.
"Saya harap semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan Misbun atau isu kontrak, sekarang biarkan kami berunding dulu, sebelum selesaikannya dalam mesyuarat nanti. Anda semua akan tahu keputusan pada 28 April ini," katanya.

No comments:

Post a Comment